KONSEP, ILMU DAN AMALI:
IDEALISME PENDIDIKAN (PERAKAUNAN) UNIVERSITI
Oleh: Prof. Madya Azmi bin Harun
Semester II 2000/2001
Ilmu dan pengetahuan membuat orang memahami. Seseorang dikatakan berilmu dan berpengetahuan kerana dia memahami (akan sesuatu; segala sesuatu dalam kehidupan). Tapi, ilmu dan pengetahuan perlu dicari. Proses pencarian ilmu dan pegetahuan, atau proses memahami itu dikatakan sebagai proses konsepsualisasi. Dalam pada itu, ilmu dan pengetahuan hanya bernilai sekiranya ia berguna dan dapat dipergunakan. Berguna dan dapat dipergunakan membawa erti berfungsi, yakni dapat digerakkan supaya terhasillah kebergunaan yang bernilai untuk selanjutnya diambil-faedah atau dimanafaatkan buat kehidupan. Upayagerak ini melibatkan mekanisme amali atau boleh juga disebut fungsi operasional, yang umumnya akan membawa kepada suatu kebergunaan (dan menjadi sempurna hanya apabila dipadukan dengan pengertian serta kefahaman hakiki tentang perkara ilmu tersebut).
Makanya dikatakan ilmu yang berguna mestilah ilmu yang boleh, dan benar-benar diamalkan, yang sesungguhnya bertepatan sekali dengan maksud keagamaan yang mengatakan bahawa ilmu dan iman, dalam rangka menyediakan keupayaan kepada langkah-langkah ke arah kebaikan dan kesempurnaan, hanya menjadi lengkap sekiranya apabila diamalkan. Bagaimanapun, seperti yang semua tahu (walaupun tidak semua yang benar-benar faham dan mengerti akan hakikatnya) bahawa keupayaan atau potensi ilmu dan iman serta amalan yang dimaksudkan tentulah tidak dalam konteks sekadar memenuhi tujuan ritus semata-mata; ianya lebih dimaksudkan untuk memenuhi tujuan kehidupan yang menyeluruh dan bersepadu.
Amalan yang ritus itu kiranya dimengertikan secara sempit, boleh ditafsirkan sebagai upacara pengabdian kepada Pencipta. Selalunya, ini dijalankan atas prinsip Demi Untuk
Pencipta. Manakala dalam pengertian yang lebih mendasar lagi meluas, yakni sebagaimana Pencipta itu pada logiknya tidak mengharapkan sesuatu apapun dari makluk ciptaanNya (dan untukNya) sendiri, maka menjadi benar andaian bahawa setiap segala peraturan dan penentuan (termasuk yang ritus itu) yang disyariatkan ke atas sekalian makhlukNya adalah demi kebaikan dan kesejahteraan mereka sendiri; yakni demi kemanusiaan dan kehidupan. Cuma, manusia mesti ingat perihal hakikat apabila manusia merosakkan diri sendiri, itu memurkakan Yang Menciptanya. Sekiranya kemanusiaan dan kehidupan yang dirosakkan maka lagi besarlah kemurkaan Pencipta. Logiknya, pertama, kerana kerosakan sedemikian adalah besar implikasinya, dan selalunya
berpanjangan serta sukar untuk dipadamkan. Kedua, kerana Pencipta itu Maha Adil, lagi besar kerosakan yang dilakukan maka besar pulalah balasannya.
Kalau seseorang itu bersungguh-sungguh serta ikhlas mengamalkan ritus tapi dalam pengertian yang sempit, dia boleh jadi sudah memenuhi tanggungjawab kepada Penciptanya sebaik saja selesai ritual tersebut (dengan itu dia pada logiknya akan mendapat ganjaran dari amalannya itu). Tapi, dalam keghairahan yang sempit itu, dia mungkin lupa (kerana begitu pulalah tabi'i manusia, yang sememangnya pelupa) perihal kewajiban kifayah atau hak masyarakat ke atasnya; dan dengan itu berkemungkinan terlibat (secara sedar atau di bawahsedar) dalam hal-hal yang menyumbang ke arah pembentukan gejala-gejala yang akhimya merosakkan kehidupan (dan, untuk ini juga, dia
pasti pada logiknya akan menerima balasannya).
Secara logik, sama ada dia benar-benar memperolehi keuntungan atau kerugian (di akhir tempoh) tentunya bergantung kepada perimbangan yang diakibatkan olehnya sendiri; lebih berat timbangan sumbangan kebaikan (hasil) maka beruntunglah dia. Tapi kalaulah sebaliknya, di mana timbangan sumbangan kehancuran (kos) yang lebih berat maka rugilah dia. Seandainya manusia (sama ada secara langsung atau tidak, secara aktif atau pasif) adalah instrumental kepada fenomena yang menghancurkan kehidupan, maka Pencipta tidak rugi apa-apa (kerana logiknya Dia pemberi untung dan rugi itu) tapi manusia sendirilah, secara individu dan secara kolektif, yang sebenar-benarnya di dalam kerugian. Demikian jua sebaliknya.
Sesuai dengan analogi ini, dan dengan berpegang kepada premis yang sama, maka proses pendidikan kita dalam konteks kesatuan ilmu, perlulah berorientasikan penekanan konsep, ilmu dan amali secara terimbang dan terpadu dalam apa jua disiplin pun termasuk perakaunan.
Masyarakat, secara hakikatnya, tentu tidak inginkan kelompok perakaunan yang sekadar ritualis berperanan di dalamnya; yang technically competent tapi tidak benar-benar memahami (lantaran itu mengabaikan) peranan dan tanggungjawab sebenar kepada kesejahteraan masyarakat dan kehidupan sempurna. Elok juga diambil perhatian, bahawa pernyataan ini bukanlah sebenar-benarnya sesuatu yang asing kepada perakaunan kerana ia sendiri memang mempunyai etika profesyennya, yang pada idealnya amat menekankan aspek obligasi sosial, yang kalau betul-betul dihayati dan diamalkan memang mampu membawa kepada kesempurnaan. Dan, masyarakat umum, tentulah secara rasionalnya lebih tidak menginginkan para akauntan yang tidak sempurna dalam kedua-duanya sekaligus untuk diberikan peranan besar dan penting itu.
Jadi, sekiranya kalangan tertentu (dari keseluruhan sektor awam dan persendirian) yang berkepentingan langsung dengan kelompok ini berupaya memilih, pilihan pertamalah yang akan dipilih. Seandainya (malah pada realitinya pun) ini yang sedang berlaku (kerana itulah sahaja pilihan terbaik yang mereka ada), dan kalaulah dengan itu akibat negatif sebagaimana yang disiratkan dalam andaian tadi beransur-ansur menjelma menjadi kenyataan (dan ada kajian-kajian yang menyatakan bahawa sememangnya akibat tersebut sudah terjelma, tapi sering pula dapat ditutupi) maka mereka yang di alam pendidikan (yang entah kenapa sering kebingungan dan tidak begitu pasti akan peranan sebenarnya itu) adalah juga secara pasifnya turut menyumbang ke arah kerosakan dan kehancuran.
Sehubungan itu, janganlah dikira sumbangan (yang walaupun pasif) tidak mewajarkan apa-apa balasan kepada mereka kalaulah tidak banyak yang mereka lakukan dalam usaha-usaha untuk mengelak kehancuran tersebut. Justifikasinya? Kerana sesungguhnya pada dasarnya dunia pendidikan memang perlu, dan mampu (dengan posesi authoriti yang sebenarnya besar itu) untuk menyediakan alternatif ketiga, kalaulah hanya mereka yang berperanan di situ benar-benar bertegas dan berpegang kepada prinsip. Jadi, inilah kerangka pilihan mereka, yang sekaligus menyediakan kriteria penilaian atau justifikajsi kepada keputusan akhir sama ada mereka, dalam konteks ini, adalah penerima keuntungan (kerana menyumbang ke arah mengelak kerosakan) atau penerima kerugian (kerana menyumbang ke arah menuju kehancuran). Premis dasar di sini ialah hakikat bahawa tiada sesiapapun yang benar-benar dipaksa untuk menjadi pendidik, dan tiada sesiapapun yang benar-benar dipaksa untuk mengambil peranan serta tanggungjawab menegakkan institusi pendidikan. Sesungguhnya, hampir setiap orang dari yang mengambil tugas dan peranan tersebut adalah pada hakikat melakukannya atas dasar own-free-will atau dengan penuh kerelaan (setelah mengambilkira untung dan rugi, yang sebenarnya sudahpun kita perhitungkan awal-awal sama ada secara sedar atau di bawah-sedar).
Berbalik kita sebentar kepada soal kepentingan konsep. Kiranya sesuatu konsep itu tidak boleh digerakkan dan dipergunakan, maka sesungguhnyalah ia tidak berguna. Dan, itu jelas. Tapi, penilaian teliti perlulah dibuat dan seterusnya difahami sehubungan maksud 'boleh digunakan' dan maksud 'mahu digunakan’ sebelum tindakan memutuskan sesuatu konsep itu sebagai berguna atau tidak berguna menjadi wajar. Maksud-maksud tersebut sememangnya merupakan dua perkara yang tidak seerti. 'Boleh' adalah merujuk kepada keupayaan atau potensi (yang juga menyiratkan bahawa sesuatu itu masih belum, secara bersungguh-sungguh, dipergunakan; ataupun boleh jadi terdapat rintangan-rintangan yang setakat ini menghalangi ianya dari dapat dipergunakan). Sedangkan 'mahu' lebih didorong oleh kehendak dan kepentingan, yang sering pula, walaupun tidak semestinya, dipengaruhi oleh naluri dan nafsu (yang kadang-kadang terkawal, kadang-kadang tidak, tapi selalunya lebih kepada yang tidak terkawalkan oleh akal dan kewarasan).
Walau apapun argumennya, yang agak ketara kepada kita ialah, secara analoginya, konsep semata-mata sama seumpamanya persoalan Falsafah atau Tarikat serta Tasawuf (dalam pengertian yang sempit) semata-mata, tanpa diiringi pengabdian Syari'at akan berkecenderungan mendorong kepada kebingungan dan kesesatan. Sebaliknya, gerak-amali semata-mata. Sama seperti gerak-laku Syariat (dalam pengertian yang sempit) semata-mata, tanpa keilmuan Tarikat dan Hakikat, mengakibatkan terlalu ramai yang menjadi ritualis berbudaya dangkal; dan dengan itu tidak bijaksana dan tidak pula strategis di dalam menyusuri pergolakan situasi dan perubahan zaman. Analogi Ini digunakan adalah kerana ramai dari kita yang mengetahui tentangnya. Dan, maksud dari analogi tersebut boleh pula untuk dihubungkan dengan maksud falsafah pendidikan pada umumnya, dan pendidikan perakaunan khususnya.
Dalam pada itu, proses pendidikan, sebagaimana semua orang tahu, tidaklah terhad hanya kepada yang formal sahaja (iaitu yang di alam persekolahan dan pengajian tinggi cuma). Merujuk kepada yang formalnya, peringkat persekolahan pada dasarnya merupakan fasa pengenalan, maka itu sewajarnyalah pendekatan pengajarannya mengarah kepada tindakan-tindakan yang bertujuan mengemukakan senario atau gambaran akan alam yang luas; namun perihal ini hendaklah dilakukan secara yang relatifnya lebih tersusun dan terbimbing. Hal ini, dilanjutkan (dengan sedikit pengubahsuaian) ke peringkat awal pengajian tinggi. Cuma, pendekatannya di sini lebih kepada maksud-maksud mengemukakan perspektif dan alternatif.
Pada prinsip umumnya, pengajian tinggi berperanan menyediakan suasana-suasana yang mengarah kepada maksud memupuk kedalaman dan kefahaman ilmu dan pengetahuan (terutamanya dari disiplin yang telah dipilih oleh pelajar-pelajar, dengan lebih penekanan dilakukan kepada yang teknikal semasa di peringkat pertengahan dan kepada yang konseptual apakala di peringkat akhirnya). Bertitik-tolakkan prinsip inilah institusi pengajian tinggi mencorakkan strategi serta pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar-pelajarnya, dan ini tentunya dilaksanakan dengan mengambilkira segala sumber dan batasan yang melingkungi persekitarannya.
Dengan tempoh lebih kurang 4 tahun di pengajian tinggi (yang sesungguhnya amat singkat itu) dan dengan tanggungjawab serta peranan hakiki yang sememangnya telah ditentukan oleh peradaban dunia ke atas mereka, maka tentulah tidak wajar, bagi setiap dari kita yang waras, untuk mengharapkan agar pelajar-pelajar di pengajian tinggi mendapatkan penekanan aspek amali secara yang berlebihan (dari apa yang patut) dari situ, yakni tanpa dengan itu tidak mengabaikan (atau at the expense of ...) proses memengertikan ilmu dan pengetahuan (yang pada realitinya itu amat sukar peluang ini untuk diperolehi lagi selepas alam pengajian ini). Maka itu, ekspektasi serta tuntutan keterlaluan berhubung perkara ini yang seolah-olah menjadi trend (dari pihak organisasi
luar dan industri atau umumnya pihak pasaran kerja, dan pihak-pihak lain juga) perlulah diredakan dan difikirkan semula.
Masyarakat mesti menerima hakikat betapa masing-masing kelompok anggotanya mempunyai peranan unik, yang semestinya tidak diganggu-gugat demi keutuhan sistem sosial pada keseluruhannya. Masyarakat juga, perlu memengerti hakikat bahawa pembelajaran dan pendidikan merupakan proses berterusan; ianya bukan berakhir di alam persekolahan, dengan pengajian tinggi itu sebagai ultimatenya. Dengan itu, setiap anggota masyarakat perlulah dididik, difahamkan serta dimengertikan perihal hakikat kehidupan sempurna; yakni yang seharusnya bertitik-tolakkan suatu sistem nilai dengan berlandaskan prinsip synergy itu, bukannya dari sistem nilai yang cenderung kepada suka membebankan tanggungjawab ke bahu orang lain (secara yang melewati kewajaran) serta mengamalkan sikap suka lepas tangan sambil menuding jari itu. Kalau benarlah bangsa Malaysia, dalam semangat dan keazaman wawasan 2020 itu, mahu menjadi sebuah bangsa yang maju, maka perlu untuk masyarakatnya belajar memahami dan memupuk nilai-nilai budaya yang mencirikan sebuah bangsa maju, yang antaranya termasuklah sifat suka mengerti, berwawasan jauh, tidak dangkal mentalitinya, bijaksana serta adaptable dan berbudaya tinggi.
Kesempurnaan yang lengkap hanya datang dari satu kesatuan. Seandainya setiap dari kita berupaya memainkan peranan masing-masing (biar cuma di dalam lingkungannya yang terbatas) tapi dilakukan secara stategis dengan mengambilkira segala aspek kekuatan dan kelemahan sendiri, secara kolektifnya kita pasti akan mampu menujui kesempurnaan yang diidam-idamkan itu.
Konotasi 'konsep' bagaimanapun sering disalahtanggapkan; ianya cenderung untuk ditafsirkan secara yang negatif, seolah-olah ianya sesuatu yang akan membuatkan orang lari dari realiti tanpa berpijak di bumi nyata. Sesungguhnya salahtanggapan tersebut menyeleweng dan dengan itu wajar diperbetulkan. Konsep adalah pengertian. Suatu konsep adalah gambaran akan pengertian tehadap sesuatu. Dengan itu, konsep sistem perakaunan adalah merupakan gambaran akan apa yang dimengertikan tentang sistem perakaunan. Jadi, pendekatan konseptual sebenarnya bermaksud mengarah kepada langkah memengertikan. Kalau demikianlah sesungguhnya konotasi 'konsep', maka sungguh menghairankan kenapa perkara konsep tidak digemari. Lebih mendukacitakan lagi, bila melihat betapa fenomena ini begitu menular di kalangan pelajar-pelajar yang masih di alam pengajian, yakni alam yang sepatutnya mengghairahkan mereka untuk didatangi dengan maksud meneroka dan mencari erti-erti (dalam segala apa yang berkaitan dengan bidang dan ilmu yang diceburi). Kalaulah, tujuan pelajaran dan pembelajaran bukan untuk maksud memengertikan perkara yang dipelajari, itu bukan sekadar menghairankan lagi tapi kita akan jadi tidak habis memikirkannya. Bagaimanapun, biar demikian gejala nyatanya (yang tampak terapong dan terpancar di permukaan wajah generasi pelajar masa kini, yang terpaksa pula kita menjadi gurunya itu), kita masih suka untuk mengandaikan bahawa itu bukanlah masalah hakikinya, tapi lebih kepada 'symptom' atau petanda kepada yang hakiki.
Kita, sesungguhnya, terdorong untuk mengandaikan bahawa generasi pelajar (yang umumnya masih bersih itu) benar-benar mempunyai keinginan di bawahsedar yang terpendam (atau latern needs) terhadap keperluan untuk memengerti segala perkara dalam bidang yang dipelajari (khasnya) dan perkara kehidupan (amnya). Kalaupun ada kemahuan-kemahuan yang mereka nyatakan secara eksplisit yang tampaknya tidak serasi dengan keperluan terpendam yang kita andaikan, maka hal ini kita anggap sebagai sikap yang terbawa-bawa yang sebenarnya mencirikan sifat-sifat anak manja yang sedikit spoiled yang seharusnya tidak dilayani tapi harus pula untuk diubati. Keperluan, umumnya jarang yang terluah (kerana sememangnyalah demikian sifatnya). Disebabkan itu, maka tidak ramai dari kalangan pendidik yang dapat mengesannya lalu menjadi terabailah keperluan tersebut. Apa sebenarnya yang dilakukan di dalam proses pendidikan kini hanyalah sekadar memenuhi kehendak atau kemahuan pelajar-pelajar, kerana kehendak atau kemahuan relatifnya mudah untuk terluah, dan ternyatakan, dengan itu mudah pulalah untuk diketahui.
Keperluan bersifat essential atau fitrah, dan cirinya lebih kepada kejiwaan. Manakala kemahuan bersikap tabi'i serta didorong oleh naluri, dan cirinya pula lebih kepada yang fisiologikal. Satu misalan; setiap individu manusia pada dasarnya memerlukan kasih-sayang, lebih-lebih lagi di peringkat awal pengembangannya. Tapi, jarang amat kita dengar perihal seorang kanak-kanak menyatakan kepada ibunya, secara eksplisit, bahawa dia memerlukan kasih-sayang ibunya. Namun sehubungan itu, terbukti betapa bilangan penjenayah-penjenayah atau umumnya individu-individu yang deviant merupakan mereka yang datang dari latarbelakang dan persekitaran kehidupan yang amat sedikit nilai kasih-sayang. Sebaliknya adalah sesuatu yang lumrah untuk kita mendengar perihal anak-anak yang begitu petah menyatakan dia hendak makan, dia hendak kencing, atau dia mahukan teddy bear, dan seumpamanya. Betapa pula, sehubungan itu, kita sering diceritakan perihal anak-anak yang spoilt akibat terlalu diturutkan kemahuannnya. Demikianlah, perbezaan maksud keperluan dari maksud kemahuan. Kefahaman maksud-maksud ini sesungguhnya amat penting di dunia pendidikan. Dari sinilah bertitik- tolaknya suatu proses pengajaran yang bakal dilaksanakan. Namun, memahami maksud istilah semata-mata tidaklah begitu bermakna walaupun itu essential. Gerakan untuk mentafsir dan mencirikan maksud-maksud tersebut (secara yang menghampiri tepat) itulah yang benar-benar diperlukan. Untuk ini, banyak yang mesti dilakukan oleh dunia
pendidikan (termasuklah para pendidiknya).
"LEADING TOWARDS THE VISION"
Last update on 07th February, 2003
Hak cipta terpelihara, semua penerbitan semula hendak mendapat keizinan bertulis daripada webmaster
Segala pertanya sila email kepada bayupuaka@yahoo.com